Saturday, July 21, 2007

PERLUNYA PENGISLAHAN DIRI

Masyarakat orang-orang Islam kini kehilangan model atau contoh samada dari segi individu atau ummah Islam yang sebenar. Ini menyebabkan mereka tidak tahu yang mana perlu diikuti. Oleh itu model ini perlu diwujudkan dari masa ke semasa.

Orang Islam tidak kurang dari segi bilangan malah orang Islam kaya dengan bilangan, tetapi kita kehilangan rajul akidah atau imraah akidah. Kita kehilangan orang yang berakidah samaada lelaki atau perempuan. Kita kehilangan syakhsiyah mukminah qawiah muasirah – keperibadian mukmin yang kuat dan memberi kesan kepada orang lain. Kita kehilangan orang yang mampu merubah reality hidup yang rosak dan kotor untuk ditegakkan keperibadian yang suci dan murni. Dengan kata lain kita kehilangan mutu keperibadian Islam, mutu yang mampu merubah masyarakat.

Untuk melahirkan keperibadian yang seumpama ini maka perlu kita ikuti jalan yang telah diikuti oleh Rasulullah saw. Kita perlu mendidik diri kita dan anggota masyarakat dengan wahyu Allah dan sunnah Rasulullah saw, bukan dengan idea-idea atau falsafah yang menyesatkan. Kita tidak mahu fikrah yang diselewengkan. Kita mahu Islam yang tulin membentuk kita dan masyarakat.

Mengislahkan diri sendiri adalah satu tanggungjawab yang penting. Diri dalam suasana fasad, tidak yakin kepada Allah dan Rasulnya, tidak bercontohkan Rasulullah saw tidak akan lahir rasa tanggongjawab terhadap Islam. Pengislahan ini perlu sampai ke peringkat memberi contoh Islam kepada orang lain dengan sifat-sifat keperibadian Islam dalam pelbagai aspek.

Paling minima contoh yang perlu ada ialah komited melaksanakan perkara-perkara yang diwajibkan oleh Allah seperti ibadah fardhu, berjihad dan menuntut ilmu serta meninggalkan segala perkara yang diharamkan oleh Allah swt. Ini tuntutan yang diwajibkan kepada individu dan ummah. Pengislahan ini pula memerlukan cara dan pelbagai teknik yang dibolehkan oleh Islam untuk memindahkan seseorang itu dari reality hidup yang hina (jahiliyah) kepada reality yang sempurna (Islam).

Daripada pengislahan tersebut semestinyalah terpancar rasa tanggungjawab untuk mengajak orang lain kepada saf Islami, supaya dari masa ke semasa akan bertambah rajul akidah dan imraah akidah. Kita tidak boleh diam saja. Kita yang sudah sampai ke peringkat kesedaran dan bertanggungjawab tidak boleh duduk diam. Kesedaran dan rasa tanggungjawab itu mendesak kita untuk mengajak orang lain kepada saf Islami sehingga bertambah bilangannya. Bilangan yang mampu membangun ummah dengan padu, bermahabbah, menegakkan kebenaran, menolok kebatilan sehingga terlaksana kesultanan Allah di bumi ini.

Firman Allah ( Fath:69) yang bermaksud: “Allah telah menjanjikan kepada orang-orang beriman dan beramal soleh, bagi mereka maghfirah dan balasan yang besar di sisi Allah” Catatan Cikgu Nordin Ahmad Feb 2007

No comments: