Sunday, June 15, 2008

SETIAP MUSLIM BERTANGGUNGJAWAB MELAKSANAKAN PERINTAH ALLAH SWT

SETIAP MUSLIM BERTANGGUNGJAWAB MELAKSANAKAN PERINTAH ALLAH SWT
( Sedutan Kutbah Jumaat oleh Ust Abdul Hadi Othman )

Mudah-mudahan umur, tenaga , potensi, kemampuan yang masih ada, sihat tubuh badan yang dinikmati dan rezki yang masih dikecapi dan dirasai. Semuanya dapat kita jadikan modal untuk taat mengabdikan diri kepada Allah menjadi orang soleh dan musleh. Seterusnya terus berdakwah mengajak diri, keluarga dan masyarakat untuk terus berpegang dan merasai izzh ( merasa mulia ) terpilih menjadi ummat NM saw dan menganut Islam.Firman Allah bermaksud
“ Sesungguhnya Deen di ssisi Allah ialah Islam “
Nabi bersabda bermaksud
“ Sesungguhnya Allah membahagi-bahagikan akhlak di kalangan kamu seperti mana Allah membahagi-bahagikan rezki di kalangan kamu. Sesungguhnya dunia ini Allah beri kepada sesipa saja , orang-orang yang disukai atau orang yang tidak disukai Allah dan Allah tidak memberi Deen ( Islam ) kecuali kepada orang yang dikasihiNya. Maka sesiapa yang diberi oleh Allah Deen ini (Islam) maka sesungguhnya Allah mengasihinya”.
Ayat-ayat Allah dan hadis-hadis yang disampaikan ini diambil oleh generasi awal Islam sahabat Nabi saw dalam bentuk amalan dan penghayatan. Mereka bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melehirkan kesyukuran, penghargaan dan terima kasih kepada Allah yang memilih mereka menjadi umat Nabi dan dianugerahkan nikmat Islam.
Dan mereka terus berusaha untuk meningkatkan iman, jihad dan pengurbanan untuk membangun Deen yang mereka anuti, yang mereka yakini, sebaik Jalan Hidup untuk mereka. Mereka dan umat terdahulu bekerja keras untuk menjaga dan membangun Deen Allah . Mereka telah kembali menemui Allah, meninggalkan budi dan jasa yang sentiasa dikenang berkat pengurbanan dan sumbangan mereka terdahulu kita mendapat nikmat Islam.
Sekarang tibalah pula masa dan peranan kita untuk berusaha dan berkerja bagi membangun kembali Deen Allah ini. Firman Allah bermaksud
“Umat yang demikian itu telah berlalu, bagi mereka apa yang telah mereka usaha. Dan Allah tidak akan menyoal kamu apa yang mereka lakukan.
Maksudnya , apa yang Allah akan soal kita ialah apakah yang telah kita lakukan, sumbangkan semasa hayah ini untuk membangun kembali Deen Allah ini ?
Sebenarnya tidak seorang pun dari kita terkecuali dari amanah dakwah iaitu menyeru kepada makruf dan meninggalkan kemungkaran sekadar termampu Setiap muslim bertanggungjawab untuk melaksanakan perintah Allah dalam kehidupan ini, buat atau laksanakan yang wajib dan tinggalkan yang haram.

Bermula dengan yang pertama iaitu bertauhidkan Allah dan menjauhi segala bentuk syirik supaya semua amalan kita diterima Allah dan tidak menjadi debu-debu yang berterbangan, tidak bernilai disisi Allah.
Firman Allah bermaksud
“Di Hari akhirat nanti dibentangkan apa yang mereka lakukan maka kami (Allah) jadikannya sebagai debu-debu berterbangan – tidak berharga bernilai disisi Allah kerana di dalamnya terdapat syirik”

Yang kedua, mengislahkan atau memperbaiki diri dan jiwa – supaya benar-benar yakin dan beriman kepada Allah, beriman dan yakin bahawa kita akan balik bertemu Allah dan akan diberi balasan di atas segala usaha yang kita lakukan di dunia ini.
Yang ketiga, terus berusaha untuk melaksanakan segala taklif – fardhu ain dan fardhu kifayah.

Firman Allah bermaksud
“Sibghah atau acuan Allah ( ketentuan Allah bermula dengan iman dan bersih akidah ) dan siapakah yang lebih baik sibghahnya ( acuannya ) daripada Allah”
Kesimpulan: keyakinan , kepercayaan , keimanan, pengislahan jiwa dan mentaati Allah adalah merupakan asas atau basic pembangunan ( perubahan ) individu, masyarakat dan umat.
Keimanan yang benar saja yang dapat membe i jawapan yang secukupnya terhadap permasalahan yang dihadapi manusia – kenapa keadaan umat menjadi semakin parah disegi akidah, social dll. Jawapannya masalah akidah , masalah iman tidak selesai. Dengan terbina dan terdidik iman hidup kita akan lebih bermakna, lebih bererti dan lebih berharga, jelas matlamat dan peranan di dalam kehidupan ini. Tanpa iman hidup tak ubah seperti abu yang berterbangan.

No comments: